Followers

Sunday, February 26, 2012

buat mulimat yang aktif tapi muslimin jangan bjet tak terasa

sebut kata aktif, mungkin secara mudahnya kita akan membayangkan kecergasan tubuh badan berlari, memanjat, berkejaran dan sebagainya.

Tetapi artikel ini bukanlah mahu membicarakan tentang aktif dari sudut tersebut. Bukanlah saya mahu menulis tentang muslimah yang terlibat dalam bidang sukan, menjadi atlet dan sebagainya.

Ia adalah bicara tentang aktifnya muslimah dari kacamata Islam. Sebelum itu, mari semak kembali apa maksud muslimah aktif yang sebenar.

AKTIF SEBAGAI KHALIFAH ALLAH

Lelaki dan wanita, keduanya diciptakan sebagai khalifah di atas muka bumi Allah. Apa maksud khalifah? Pemakmur, pentadbir, pengurus bumi Allah. Mereka menguruskan bumi Allah dengan agama iaitu Islam dengan menghidupkan Al Amru Bil Makruf Wan Nahyu Anil Mungkar.

Maka sebenarnya, bila kita sebut muslimah aktif, maknanya adalah muslimah yang aktif menunaikan tanggungjawab dan tugasan mereka sebagai pentadbir bumi Allah, meskipun tanpa jawatan. Mereka aktif melaksanakan kerja dakwah, menyumbang untuk Islam, terlibat dalam gerakan Islam, persatuan Islam, pertubuhan Islam dan sebagainya.

Sudah tentu, terkecuali di sini muslimah yang tidak aktif. Maknanya, muslimah yang sengaja mengongkong dirinya dengan alasan ‘malu’ serta ‘ikhtilat’ lantas satu kerja untuk Islam pun tidak dilaksanakan. Tidak menyumbang di luar rumah dan tidak juga menyumbang dari dalam rumah. Mereka memang langsung tidak ada kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah.

Bicara ini, khas untuk muslimah yang aktif sahaja.

KOMUNIKASI

Bila kita sebut kerja Islam dan kerja dakwah, maknanya ia bukan suatu pekerjaan main-main. Ia bukan suatu kerja yang boleh diibaratkan seperti melepas batuk di tangga. Tidak sama sekali.

Ia adalah suatu kerja yang sewajibnya kemas, tersusun dan profesional. Tidak kira apa sekalipun lapangannya samada persatuan, kumpulan mahukan pertubuhan, elemen-elemen tersebut adalah suatu yang tidak dapat tidak mesti wujud dalam melaksanakan kerja dakwah.

Dan salah satu tunjang utama dalam prinsip profesionalisme adalah komunikasi yang cemerlang. Ertinya, komunikasi yang berkesan, tidak ada jurang, tidak diresapi unsur yang tidak berkaitan dan sebagainya.

Malanglah, jika musuh-musuh Islam yang bekerja untuk menghancurkan Islam itu pun cara bekerja mereka begitu profesional dan jauh sekali bermasalah dari segi komunikasi, tetapi mereka yang bekerja untuk Islam pula langsung tidak profesional dan sering mempunyai masalah komunikasi.

Saya melihat, salah satu punca besar yang membawa kepada masalah komunikasi adalah sikap. Khususnya sikap sebahagian besar muslimah yang aktif dalam kerja dakwah. Dari sudut aktif, mereka patut dipuji. Tetapi dari sudut komunikasi, sangat perlu diperbaiki.

MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI

Sebagai contoh, jika bekerja dalam pertubuhan tertentu atau persatuan tentu. Antara muslimin dan muslimat kebiasaannya akan saling berhubung atas maslahat kerja serta perancangan. Mungkin untuk melaksanakan aktiviti, program dan sebagainya.

Ada sebahagian muslimah, komunikasi mereka dengan muslimin cukup teruk. Seolah-olah, di awalnya lagi telah ditanam di dalam otak mereka bahawa muslimin itu adalah ‘musuh’ maka komunikasi dengannya juga mesti ‘berjaga-jaga’.

Saya memahami bahawa di sana wujudnya muslimah yang sangat tegas dalam hal ehwal ikhtilat. Itu saya hormati. Tetapi kita perlu sedar. Di dalam gerak kerja yang melibatkan maslahat umum, tidak boleh sama sekali dibesarkan maslahat peribadi. Contohnya, bertegas untuk ‘menjaga pandangan’ sehingga ketika bermesyuarat pun tidak mahu memandang ahli mesyuarat bahkan lebih parah jika sampai tahap tidak mengenali siapa ahli mesyuarat. Jika team kerja sendiri pun tidak kenal, bagaimana mungkin mahu mencapai gerak kerja yang cemerlang?

Timbul persoalan, apa pula nas serta dalil yang digunapakai sehingga begitu sekali jadinya anda sebagai muslimah?

Hanya dengan muslimah sesama muslimah, anda menjadi ‘manusia’.

Tetapi dengan muslimin, anda bertukar menjadi ‘makhluk lain’.

Seolahnya, anda menafikan hak muslimin tersebut untuk menerima komunikasi dari anda sebagai ‘manusia’ dan orang yang sama-sama bekerja. Dalam masa yang sama, anda tidak sedar sudah berapa ramai muslimin yang merasa ‘terhina’ dengan perlakuan dan sikap yang anda tunjukkan.

Pada saya, kita sebenarnya perlukan muslimah yang bukan semata-mata muslimah, tetapi muslimah yang cerdik. Muslimah yang bukan semata-mata hebat pegangannya dengan prinsip agama, tetapi juga bijak menyesuaikan diri dengan suasana serta mampu mempraktikkan komunikasi yang cemerlang.

Anda mungkin tidak sedar, dari sikap anda yang mementingkan diri sendiri itu, lahir pula fitnah kepada Islam.

Kononnya, Islam mengajar ummatnya yang wanita supaya menjadi begitu.

Bila bermesyuarat, dia hanya memberi pandangan dengan ‘satu nada’ atau ‘mendatar’.

Bila ada unsur humor, mimik mukanya langsung tidak akan berubah apatah lagi senyum. Mimik mukanya adalah sekata, dari awal sehingga akhir. Keras dan tegang.

Bila ada muslimin bertanya kepadanya, muslimin tersebut langsung tidak akan dipandang. Kalau muslimin itu berada di sebelah depan, dia akan pandang ke tepi. Kalau di tepi, akan pandang ke depan. Atau, dia akan pandang hanya ke bawah. Dia lebih rela bercakap dengan ‘halimunan’ daripada bercakap dengan muslimin.

Kesemua sikap itu berpotensi memberi fitnah kepada Islam, sedangkan Islam tidak menyarankan sedemikian.

Bagaimana mungkin ummat Islam akan mampu berdaya saing, jika produknya adalah seperti itu?

Terkadang, saya cukup hairan dengan beberapa alasan yang diberikan. Antaranya, mereka perlu melakukan sedemikian kerana takut tertimpa fitnah dari kaum lelaki. Takut timbul ‘masalah hati’ dan sebagainya. Tetapi isunya, anda dan muslimin itu bukannya sedang berkhalwat. Katakan dia menghubungi anda secara peribadi, atau menegur anda di jalanan dalam keadaan hanya ada anda dan dia, itu masuk kategori lain. Keadaan itu memang sewajarnya anda benteng dengan ketegasan tahap maksima.

Namun, jika dalam pengurusan, pekerjaan, perlaksanaan, perkongsian pendapat dan sebagainya, dalam suasana yang langsung tidak ada unsur fitnah, mengapa demikian juga sikap dan perangainya?

Kadang-kadang, soal seperti ini tidak perlu lah sehingga dijadikan subjek atau matapelajaran. Ia sebenarnya adalah common sense kita sebagai manusia. Muslimin itu saudara kita dan orang yang sama-sama berjuang bersama kita dengan matlamat yang sama. Janganlah mengamalkan sikap tidak profesional sehingga mencampur adukkan soal hati dan sebagainya.

BERUBAH

Jika anda muslimah aktif, jauhkanlah diri anda dari sikap dan perangai yang disebutkan. Anda perlu bermuhasabah kembali, berapa ramai ahli kumpulan ataupun orang yang bekerja dengan anda telah tercalar perasaan mereka dan terhina dengan tingkah laku anda. Seolah-olah, mereka adalah ‘orang jahat’ yang kerjanya adalah menolak anda masuk ke neraka. Anda pula adalah ‘orang baik’ yang sentiasa berjaga-jaga dengan kapak di tangan bagi memotong lehernya.

Perbaikilah kembali soal komunikasi anda. Saya kira, mengambil sikap pertengahan adalah alternatif yang paling baik. Kita tidak dilihat sebagai terlalu kolot dan tidak dilihat sebagai terlalu terbuka. Ada ketikanya, kita ramah. Ada ketikanya, kita diam. Ada ketikanya, kita perlu senyum. Ada ketikanya, kita tidak perlu senyum. Anda harus tahu, menjadikan orang selesa dengan anda yang mana membawa kepada mudahnya urusan kerja dakwah, itu adalah satu ibadah. Dan tingkahlaku anda itu sendiri adalah suatu dakwah.

Belum terlambat untuk berubah.

Sekian.

Copy daripada: Seorang penulis yang masih bersilat dengan pengalaman untuk mencorak hidup yang matang. Juga merupakan seorang bapa kepada puteri cilik yang comel. Tulisan di sini tidak lebih sekadar mengajar diri sendiri tentang erti kehidupan. Mari bersama menghias dunia dengan senyuman dan kasih sayang.

3 comments:

  1. Bagus dik... Jadilah muslimah yg punyai potensi tapi xbunuh ia. Kita menuju kematangan, tapi jgn sesekali cantas ia. Slmt berjuang.~rijalulfikr

    ReplyDelete
  2. good call! voice this out!

    ReplyDelete
  3. TERBAIK... dah lama nak oyak mende ni tapi tersangkut.. =)
    moga kita semua menjadi muslimah aktif yg sebenar-benarnya..

    ReplyDelete